Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui kecewa melihat pasukannya terlepas peluang meraih tiga mata dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Selepas meraih kemenangan ke atas Penang, penyokong Tok Gajah berharap rentak dapat diteruskan ke atas wakil Pantai Timur, Kelantan DN.
Walau bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu di hadapan menerusi gol Washington Brandao pada separuh masa pertama. Gol penyamaan Adam Nor Azlin pada babak kedua memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Fandi merasakan pasukannya patut meraih tiga mata dalam aksi berkenaan. Ini kerana Sri Pahang memiliki banyak peluang untuk mengatasi Sang Kijang Emas tetapi itu tidak berlaku.
Atas sebab itu, legenda Singapura itu mahu Sri Pahang mempertajamkan taji mereka bagi memastikan mereka dapat meraih mata dalam aksi seterusnya.
“Kita rasa hampa, kita sepatutnya mengutip mata penuh. Tetapi syabas ya untuk pasukan Kelantan (DN) yang bermain bermati-matian.
“Mereka mungkin seimbang, sama dengan kita untuk perlawanan hari ini. Kita tidak ambil kesempatan dan peluang yang ada.
“Mereka juga ada peluang yang baik juga. Tapi nampaknya di babak kedua, kita banyak menekan tetapi hantaran-hantaran bola kepada penyerang kita agak kurang baik hari ini. Mungkin kita harus berpuas hati dengan satu mata,” katanya kepada Nadi Arena.
Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang kini berada di tangga kelapan dengan 15 mata selepas 13 perlawanan liga.
Tok Gajah bakal mengalihkan fokus untuk aksi liga seterusnya menentang Kuching City FC. Aksi tersebut bakal berlangsung di Temerloh pada 2 November ini.