Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menjelaskan sebab di sebalik permainan ultra-defensif pasukannya ketika seri 1-1 menentang Selangor pada Ahad.
Dalam perlawanan di Stadium MBBJ itu, Sri Pahang terlepas peluang untuk membawa pulang tiga mata, setelah dikecewakan jaringan penyamaan lewat permainan oleh Brendan Gan.
Mereka terlebih dahulu di depan pada minit ke-74 menerusi Stefano Brundo, tetapi dihukum atas permainan terlampau bertahan yang memberi ruang kepada tuan rumah untuk melancarkan serangan demi serangan seterusnya mendapatkan gol pada minit ke-88.
Fandi Ahmad berkata, beliau tiada pilihan selain mengarahkan pemainnya untuk berkampung di kawasan sendiri, kerana sukar untuk bermain bola dalam keadaan hujan lebat sewaktu permainan dan padang becak.
“Selangor sebuah pasukan yang bagus, jadi sebab itu kita ubah cara bermain. Kita selalu main 3-5-2, 5-3-2 atau 4-3-3. Tetapi kita tahu kekuatan Selangor di bahagian tengah, jadi kita cuba tutup ruang di kedua-dua belah sayap dan bermain serangan balas.
“Ia berhasil, kita dapat mematikan serangan daripada sayap mereka iaitu Hein Htet Aung dan Faisal (Halim), membuatkan mereka beberapa kali bertukar posisi. Cuma, kadang-kadang kita agak lambat di serangan. First half, kita cuma ada 2-3 orang di serangan tapi separuh masa kedua lebih baik ada 4-5 pemain yang serang.
“Untuk 10 minit terakhir, kita tidak dapat keluar dari kawasan sendiri, sebab Selangor sudah tolak semua pemain ke atas untuk menyerang. Itupun satu kebaikan untuk kita, sebab kita dah tak boleh main bola, kita hanya melakukan clearance dan mengharapkan serangan balas.
“Kalau perhatikan di separuh masa pertama ada empat peluang counter attack tapi kita tidak ambil, bolasepak memang begitu.
“Bagi saya satu mata ini adalah bagus, dengan cara kita main tadi, selain kondisi perlawanan, hujan lebat, kita nak tendang bola pun dah tak nampak. Nak buat hantaran pun tak boleh. Memang kalau boleh nak menang, tapi Selangor bukan lawan mudah, mereka tidak berputus asa,” kata Fandi Ahmad dipetik dari portal rasmi kelab itu, sripahang.com.my.
Satu mata yang diraih menyaksikan Sri Pahang berada di tangga kelima dengan lima mata, tatkala Selangor pula melonjak selaku pendahulu dengan tujuh mata.