Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui gembira perancangannya merehatkan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo untuk aksi terakhir Liga Super membuahkan hasil.
Sebelum aksi terakhir menentang Penang FC pada 19 April di Temerloh, legenda Singapura itu memilih untuk merehatkan dua tonggak utama Tok Gajah itu.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau merencana kesebelasan utama yang mantap menjelang final Unifi Piala Malaysia yang berlangsung pada 26 April ini.
Ini ditambah dengan kedua-dua pemain tidak dapat beraksi di pentas final. Sherman tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan perlawanan.
Hidalgo pula terpaksa melupakan aksi final disebabkan statusnya sebagai pemain pinjaman lawan Sri Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Tok Gajah menundukkan Penang 3-2. Pengganti Sherman, Mykola Ahapov turut meledakkan dua gol dalam aksi tersebut.
Fandi melihat percaturan tersebut sebagai berbaloi. Ini turut membantu beliau memikirkan siapa pemain berpotensi diturunkan untuk aksi final Unifi Piala Malaysia.
“Saya diarahkan bos kalau boleh sisa pertandingan (Liga Super) iaitu empat (aksi) pertandingan, kalau boleh jangan pakai Kpah atau Manu,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
“(Ini) pasal kita harus bertanding dalam pertandingan ini supaya kita membentuk gandingan baik itu. Hari ini, pemain kita seperti Aguero dan Mykola agak luar biasa, berdua di atas (sebagai penyerang) bermain.
“Saya gembira untuk Mykola kerana selalu berusaha keras. Walaupun dia selalu bermain sepenuhnya, ini hari terbaik dia bermain.”
Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang menamatkan musim 2024/25 di tempat kelapan liga dengan 29 mata.