Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui kurang berpuas hati dengan permainan ditunjukkan barisan pemainnya ketika seri 1-1 menentang Negeri Sembilan pada Ahad.
Menurutnya walaupun satu mata yang diraih itu melegakan mengambil kira mereka bermain di tempat lawan, pasukannya kelihatan agak goyah dan tidak beraksi di tahap terbaik.
“Separuh masa pertama menjadi sulit sedikit kerana kita kurang membuka peluang kepada penyerang. Kita benarkan Negeri Sembilan mendominasi, mereka hantar bola tinggi dari tepi kepada penyerang mereka, cuba memanfaatkan ketinggian Casagrande. Stamina dia bagus, jadi kita bergelut untuk sekat hantaran dan crosses, lambat tutup ruang.
“Kita lemah dalam game-control, kita tak pandai untuk mengawal situasi, kita jadi kelam kabut apabila ada kecederaan, kita sedang attack dan pegang game tapi menjadi kelam kabut bila 2-3 minit terakhir kena serangan balas. Itu nasib baik serangan Negeri Sembilan tak hasilkan jaringan,” ujar Fandi.
Tambahnya, “Babak kedua kita buat rombakan, kita buat 3-4-3 lagi efektif. Tiga attackers lepas tu kita main dua midfield baru nampak hidup kita punya rentak, kita dapat cipta 3-4 peluang yang mana seharusnya kita ambil tetapi kita lepaskan.
Bekas jurulatih Singapura itu bagaimanapun tidak mahu menyalahkan penyerang dari Liberia, Kpah Sherman yang gagal menyengat dan mempertahankan kritikan penyokong terhadap pemain itu.
“Dia jadi kekok sikit kerana tidak ada partner, tapi dia bekerja keras. Dia bantu Malik dengan Rowley. Mungkin kalau ada Lucas dia tidak terbeban dan fokus untuk jaringkan gol, jadi itu punca depan kita agak tumpul,” kata Fandi Ahmad lagi.