Fandi Ahmad Puji Permainan Bertenaga Perak, Anggap Bryan Tee Luar Biasa
MakanBola
Sri Pahang Piala FA
Sponsors

Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad memberi kredit kepada barisan pemainnya atas kesungguhan ditunjukkan ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak 2-1 dalam aksi pusingan pertama Piala FA, pada Rabu.

Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Singapura itu turut memuji skuad muda Perak kendalian Lim Teong Kim yang tampil bertenaga untuk memberi tentangan sengit kepada pasukannya.

Ad

Beliau juga menganggap penjaga gol Perak, Bryan Tee berada pada prestasi luar biasa untuk mengagalkan percubaan demi percubaan barisan serangn Sri Pahang diterajui Kpah Sherman.

Ad

“Saya lihat cara Perak bermain lain sebelum ini, berbanding 2-3 perlawanan pertama mereka, banyak peningkatan. Tahniah juga kepada penjaga gol mereka yang luar biasa, tapi kita tidak berputus asa terus mencuba dan mencuba.

“Kita juga dapat bermain lebih baik dari perlawanan menentang Selangor, kombinasi baik dan mencipta banyak peluang. Kita terlepas peluang jaringan, kita sepatutnya skor, tapi sama ada tersasar atau dinafikan penjaga gol.

Ad

“Apapun, saya bangga dengan pemain saya, saya gembira kita dapat kembali daripada satu gol, satu peluang yang kita dapat pada minit-minit akhir,” kata Fandi Ahmad kepada Media SPFC.

Ad

Tambah Fandi Ahmad lagi, beliau juga sebenarnya menjangkakan perlawanan akan berlanjutan 30 minit lagi di masa tambahan.

Ad

“Memang saya sendiri sudah bersedia untuk menghadapi masa tambahan, kita sudah buat pertukaran pemain tapi rezeki kita, pemain-pemain menunjukkan satu team spirit yang cukup hebat,” katanya lagi.

Pada perlawanan tersebut, Perak mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Christian Obiozor.

Sri Pahang bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Malik Mat Arif pada minit ke-82 sebelum pengadil menghadiahkan sepakan penalti beberapa saat sahaja sebelum tamat perlawanan berikutan Baqiuddin Samsudin dijatuhkan.

Stefano Brundo tenang merembat menewaskan Bryan Tee untuk gol ketiganya musim ini, dan membawa Sri Pahang ke pusingan seterusnya menentang Selangor.