Kekalahan besar 0-4 dialami di tangan Selangor sememangnya menyakitkan, namun pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menerima hakikat mereka tewas di tangan sebuah pasukan yang jauh lebih baik.
Sebelum perlawanan pada Sabtu, Sri Pahang belum tewas dalam sembilan perlawanan yang telah diharungi musim ini dan perlawanan menentang Selangor disifatkan pentas sebenar menguji keupayaan mereka, namun sebaliknya terserlah jurang yang sangat besar antara kedua-dua pasukan.
“Sudah pasti, Selangor bermain dengan lebih baik, standard mereka tinggi, apa-apa yang mereka buat menjadi. Kita agak kesulitan tapi memang babak pertama kita nak bertahan dulu, cuma lima minit terakhir itu ada kesilapan oleh pertahanan.
“Apabila sudah ketinggalan, ia memaksa kita keluar dan bermain lebih terbuka. Untuk menang, kita kena menyerang, dalam situasi bermain terbuka, kita harus terima padah, Selangor berada pada tahap terbaik.
“Malah sebelum main pun kita dah tahu kualiti mereka di segenap posisi, tapi itulah kita lalai sikit, kita lambat tutup ruang dan penyudah mereka luar biasa, memang Selangor berhak menang perlawanan ini,” ujar Fandi Ahmad.
Pengendali kelahiran Singapura itu juga memberitahu punca utama pasukannya turun dengan mentaliti mahu bertahan adalah kerana kehilangan empat tonggak utama iaitu Fadhli Shas, Sergio Aguero, Kevin Ingreso dan Lucas Rodriguez.
“Ketiadaan Fadhli Shas sangat ketara di belakang, dan kita kekurangan pemain berkaliber di tengah untuk cipta peluang, seperti Aguero dan Kevin. Kita tak ada kreativiti, untuk hantar bola kepada penyerang dan banyak buang bola walaupun sudah diberitahu tidak main macam tu, mungkin sebab tekanan,” tambah Fandi Ahmad.
Dengan berakhirnya cabaran di Piala FA, fokus Sri Pahang kini kembali terarah kepada mempertahankan rekod bersih mereka dalam saingan Liga Super.