Kelab gergasi Uzbekistan, FC Nasaf sah mendapatkan bekas pemain pertahanan Selangor FC, Umarbek Eshmurodov.
Perpindahan bek tengah berusia 32 tahun itu diumumkan kelab berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial rasmi mereka.
Sebelum ini, Selangor mengumumkan bekas bek tengah Pakhtakor itu tidak lagi bersama pasukan. Ini selepas pengurusan Merah Kuning memilih tidak melanjutkan kontrak Umarbek yang berakhir pada Disember 2024.
“Umarbek Eshmurodov, seorang pemain pertahanan berpengalaman yang mempertahankan maruah pasukan pada 2017 hingga 2023 mewakili kelab Malaysia, Selangor musim lepas telah kembali ke Nasaf,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengurusan kelab yang diberi jolokan The Dragons itu percaya pengalaman Umarbek dapat membantu pasukan itu tampil lebih hebat untuk musim 2025.
“Umarbek telah memenangi banyak trofi bersama pasukan kami. Kami percaya perjanjian ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” tambahnya.
Umarbek menjadi pemain baru keenam yang dibawa masuk jurulatih FC Nasaf, Ruziqul Berdiev.
Selain beliau, The Dragons turut mendapatkan khidmat Stefan Colovic, Valentino Yuel, Shokhzhakon Sultonmurodov, Dilshod Komilov dan Shakhzodbek Suyunov.
Umarbek bakal bersaing dengan Komilov, Sultonmurodov, Igor Golban, Diyorbek Abdunazarov dan kapten, Golib Gaybullaev untuk slot bek tengah FC Nasaf.
The Dragons bukan calang-calang pasukan kerana mereka merupakan juara Uzbekistan Super League 2024.