Penyerang import baru skuad futsal Sabah FA, Felipe Leite meletakkan sasaran menjadi penjaring terbanyak Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2024.
Penyerang Brazil ini bukan asing dengan dunia futsal Asia Tenggara kerana pernah mewakili kelab Thailand, Bluewave Chonburi pada musim lepas.
Semasa bersama kelab itu, beliau telah meledakkan 16 gol untuk membantu Bluewave Chonburi menduduki tangga ketiga liga.
Dengan rekod jaringannya yang memberangsangkan, ramai peminat Sabah FA percaya beliau bakal menjadi ayam tambatan mereka di bahagian serangan.
Atas sebab inilah juga, Leite mensasarkan untuk menggondol gelaran penjaring terbanyak liga dalam memacu pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu ke hadapan.
“Saya melihat pertandingan ini setiap hari. Saya turun berlatih setiap hari. Saya mahu menjadi penjaring terbanyak di Malaysia,” katanya pada sesi sidang media majlis pengenalan pasukan dan jersi rasmi Sabah FA.
Selain Bluewave Chonburi, Leite juga pernah beraksi untuk Vassagey Oita di Jepun dan dua kelab Portugal, AD Fundão/Hotel Alambique dan ADCR Caxinas Poça Barca.
Selain Leite, Sabah FA turut mempertaruhkan khidmat Joao Gabriel sebagai tonggak import untuk MPFL musim 2024.