Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney mencipta kejutan apabila memilih menyertai kelab Thai League 2, Chonburi FC.
Perpindahan penyerang berusia 21 tahun itu diumumkan sendiri Chonburi dalam satu majlis pengenalan pemain dan jersi baru pasukan.
Berita perpindahan itu turut dikongsikan oleh wartawan sukan Thailand, Ta Lao menerusi satu hantaran terbaru di X.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada perpindahan Tierney ini bersifat tetap atau pinjaman dari kelab asalnya, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Tierney menjadi pemain Malaysia terbaru yang memilih berkelana ke luar negara. Beliau mengikut jejak Dion Cools, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Abu Khalil.
Penyerang berdarah Scotland itu merupakan antara tonggak utama JDT II. Beliau membantu pasukan itu muncul naib juara Piala MFL musim 2023.
Tierney juga merupakan antara tonggak utama skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23). Sejak diberi peluang membuat kemunculan pertama dalam skuad Malaysia B-22 oleh E. Elavarasan, beliau telah merekodkan 18 penampilan.
Tierney menjadi pemain import terbaru Chonburi selepas Marcus Haber, Charlie Clough dan Jeon San-hae.
Chonburi beraksi dalam saingan Thai League 2 selepas tersingkir dari saingan Thai League 1 musim 2023/24. Pasukan itu tersingkir bersama Police Tero FC dan Trat FC.