Penyerang muda Harimau Malaya, Fergus Tierney sekali lagi menjadi tumpuan di Thai League 1 apabila menjaringkan gol untuk membantu Nakhon Pathom meraih satu mata.
Aksi Thai League 1 bagi minggu ke-23 menyaksikan Nakhon Pathom turun menentang Port FC di gelanggang sendiri dan membawa misi penting untuk bangkit dari kekalahan lalu.
Fergus Tierney memulakan perlawanan di bangku simpanan bersama seorang lagi pemain negara, Muhammad Abu Khalil tatkala penggempur import, Valdo ketuai jentera serangan Nakhon Pathom.
Permulaaan positif buat Nakhon Pathom apabila mendahului seawal minit ke-12 menerusi tandukan Amirhossein Nemati berpunca dari sepakan sudut oleh Ernesto Amantegui.
Pasukan pelawat lantas bangkit meledak dua gol sebelum rehat hasil jaringan oleh Natthakit Phosri dan Isaac Honny untuk Port FC kembali memimpin aksi di babak pertama.
Kembali di separuh masa kedua, tuan rumah berusaha untuk mengasak kubu lawan dengan siri serangan yang dilancarkan sambil Fergus Tierney dibawa masuk untuk menambah bisa.
Kemasukan Tierney membawa impak segera dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan untuk membantu Nakhon Pathom mengikat pasukan Port FC dengan keputusan 2-2 di akhir aksi.
Untuk rekod, ini adalah gol ketiga Fergus Tierney bersama Nakhon Pathom dengan dua jaringan sebelum ini dihasilkan ketika aksi menentang Muangthong United dan Uthai Thani.
Walaupun begitu, keputusan seri ini membuatkan Nakhon Pathom terpaksa akur tersingkir dari saingan Thai League 1 musim hadapan apabila kini berada di tangga 15 dengan berbaki dua lagi aksi.