Dengan kekalahan terbaru 3-1 di tangan Penang, ramai menjangkakan lawan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 April ini sebagai pasukan belasahan. Tetapi bagi penyerang bintang Fernando Forestieri, pasukan yang dibimbing Datuk Lim Teong Kim itu mampu mencipta kejutan jika JDT beraksi sambil lewa di Stadium Perak.
Ini kerana di sebalik statistik tiga layangan kad merah dan tiga kekalahan musim ini, Teong Kim sentiasa berusaha menerapkan corak permainan berteraskan penguasaan bola. Dan jika diberi ruang, The Bos Gaurus mampu menyukarkan mana-mana pasukan yang bertandang ke Stadium Perak.
Oleh sebab itu, Forestieri mahu rakan-rakan sepasukannya tidak memandang enteng cabaran Perak di mana majoriti pemain ialah pemain-pemain muda.
“Kita tahu pemain Perak FC dibarisi pemain muda yang mahu membuktikan sesuatu apabila beraksi di laman mereka sendiri. Malah, kerana bagi mereka sudah tentu mahu buktikan sesuatu. Dan saya jangkakan ia perlawanan berintensiti tinggi dan pastinya ke arah corak permainan pantas tatkala pemain muda akan kerap berlari pada aksi itu nanti.
“Apapun, kami akan terus membuat persiapan dan tetap menghormati Perak FC. Malah, kami harus memikirkan tentang apa yang perlu dilakukan pada perlawanan itu nanti selain berhati-hati dengan pendekatan taktikal pasukan lawan yang mungkin akan turun berbeza apabila berdepan JDT.
“Kami juga harus fikirkan prestasi sendiri supaya tidak tertekan pada perlawanan itu nanti. Kami kena 100% untuk memberi sepenuh fokus apabila perlawanan nanti.
Dan setiap pasukan yang menentang JDT begitu mengidamkan untuk kalahkan kami dan pasukan lawan akan turun beraksi mungkin 200% dalam usaha menutup peluang kami meraih kemenangan,” katanya bila dihubungi Arena Metro.
Dengan jaringan gol terbaru menentang Sabah, Forestieri kini mengutip enam gol musim ini. Tetapi bekas penyerang Sheffield Wednesday itu tidak terlalu memikirkannya kerana yang penting ialah kemenangan pasukan selepas wisel penamat.
“Tidak sama sekali, saya tak pernah fikir mahu jadi penjaring terbanyak liga. Apa yang diutamakan kemenangan untuk pasukan dan siapa sahaja boleh jaringkan gol kerana kita beraksi dalam satu pasukan dan siapa sahaja yang menjaringkan gol misi utama buru kemenangan.
“Dalam permainan bola sepak, untuk menjaringkan gol, kita harus mengawal permainan dan perlu bersabar tidak terlalu berada di dalam tekanan. Itu yang terjadi kepada kami pada aksi menentang Sabah FC terutama di babak pertama apabila beraksi dalam tekanan. Tapi pada babak kedua, baru permainan lebih tersusun dan konsisten,” tambahnya.