FIFA ASEAN Cup 2026 bakal melakar sejarah sebagai kejohanan bola sepak serantau pertama yang diuruskan dan dikendalikan secara langsung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berasingan daripada kejohanan tradisional ASEAN Championship.
Berdasarkan keputusan undian rasmi, sebanyak 14 pasukan akan mengambil bahagian dalam edisi sulung FIFA ASEAN Cup 2026 yang dibahagikan kepada dua divisyen iaitu Division 1 dan Division 2.
Kejohanan ini akan berlangsung dalam kalendar FIFA Days dari 24 September hingga 3 Oktober 2026, sekali gus memberi peluang kepada pasukan kebangsaan untuk menampilkan barisan terkuat termasuk pemain yang beraksi di luar negara.
Selain itu, keputusan perlawanan juga akan dikira dalam sistem ranking FIFA mengikut pekali pertandingan yang berlangsung dalam tempoh FIFA Days.
Bagi saingan Divisyen 1, lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan.
Kumpulan A Divisyen 1 menyaksikan Indonesia, India, Malaysia dan Singapura bakal berentap bagi merebut dua kedudukan terbaik.
Sementara itu, Kumpulan B Divisyen 1 menampilkan Vietnam, Pakistan, Thailand dan Filipina dalam satu lagi kumpulan yang dijangka sengit.
Untuk Division 2 pula, enam pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga pasukan dalam setiap kumpulan.
Kumpulan A Divisyen 2 dihuni oleh Hong Kong (China), Myanmar dan Brunei, manakala Kumpulan B pula terdiri daripada Kemboja, Laos dan Timor-Leste.
Pengenalan format dua divisyen ini dilihat sebagai langkah baharu FIFA bagi meningkatkan tahap persaingan dengan menemukan pasukan yang mempunyai tahap kekuatan lebih seimbang.
Selain memberikan lebih banyak aksi kompetitif, format ini turut membuka peluang kepada pasukan Divisyen 2 untuk membina pengalaman antarabangsa serta memburu peluang promosi pada edisi akan datang.
Dalam masa sama, saingan Divisyen 1 dijangka menjadi perhatian utama apabila pasukan seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia bakal berdepan antara satu sama lain dalam usaha membuktikan keunggulan di rantau ini.
FIFA memaklumkan jadual rasmi pertandingan serta peraturan kejohanan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas semua proses pendaftaran pasukan selesai dilakukan.