Sebentar tadi, FIFA secara rasmi mengumumkan pembatalan pemberian hak sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 kepada Indonesia dipercayai kerana keengganan Indonesia memberikan visa khas untuk pasukan Israel.
Selain itu, ianya juga difahamkan keengganan negara tertentu untuk diundi bertemu Israel yang akhirnya menyebabkan proses undian ditangguhkan secara mengejut beberapa hari lalu.
Menerusi satu kemas kini terbaru oleh FIFA, Indonesia secara rasmi dibatalkan hak penganjuran sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023.
Selain itu, FIFA juga sedang memperhalusi untuk mengadakan sekatan-sekatan tertentu kepada Indonesia sebagai salah satu ahli persatuan rasmi bola sepak dunia tersebut.
“Berikutan pertemuan hari ini antara Presiden FIFA Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) Erick Thohir, FIFA telah memutuskan, berdasarkan keadaan semasa, untuk mengeluarkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 FIFA 2023. Tuan rumah baharu akan diumumkan secepat mungkin, dengan tarikh kejohanan pada masa ini kekal tidak berubah. Potensi sekatan terhadap PSSI juga mungkin diputuskan pada peringkat seterusnya.
“FIFA ingin menggariskan bahawa di sebalik keputusan ini, ia tetap komited untuk aktif membantu PSSI, dengan kerjasama erat dan dengan sokongan kerajaan Presiden Widodo, dalam proses transformasi bola sepak Indonesia berikutan tragedi yang berlaku pada Oktober 2022. Ahli daripada pasukan FIFA akan terus hadir di Indonesia dalam beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI, di bawah pimpinan Presiden Thohir.
“Pertemuan baharu antara Presiden FIFA dan Presiden PSSI untuk perbincangan lanjut akan dijadualkan tidak lama lagi.” Dipetik dari laman web rasmi FIFA.
Sebelum ini terdapat ura-ura menyatakan Qatar sedia untuk mengantikan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023.