FIFA mula bertapak di Indonesia dengan membuka pejabat baru organisasi itu di Jakarta beberapa hari lepas.
Majlis perasmian ini dibuat oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden FIFA, Gianni Infantino. Menariknya, perasmian ini dibuat pada hari sama Piala Dunia B-17 bermula.
Bagi Infantino, hari itu cukup bermakna buat FIFA kerana ini membantu badan induk bola sepak dunia itu untuk terus membangunkan sukan bola sepak di seluruh dunia.
“Hari ini merupakan hari istimewa buat semua orang di FIFA tatkala kita meraikan pembukaan pejabat baru FIFA di Jakarta pada hari sama Indonesia membuka tirai sebagai tuan rumah kejohanan FIFA yang pertama.
“Ini langkah penting dalam matlamat kita menyatukan dunia menerusi bola sepak dan menunjukkan komitmen FIFA untuk membangunkan sukan ini di seluruh dunia.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Presiden Joko Widodo dan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia, Erick Thohir bersama seluruh pasukannya untuk semua kerja hebat yang dilakukan mereka di sini.
“Kami tidak sabar untuk bekerja menjadikan bola sepak lebih global dan memberi impak positif kepada kehidupan di sini dan sekitar rantau ini,” katanya di Instagram.
Ketua Umum PSSI, Erick Thohir menyifatkan pembukaan pejabat baru FIFA di Jakarta bakal memacu pertumbuhan sukan bola sepak di Indonesia ke tahap lebih tinggi.
“Kantor FIFA di Jakarta diresmikan langsung oleh Bapak Presiden Jokowi dan Presiden FIFA Gianni Infantino.
“Kepercayaan FIFA membuka kantor di Indonesia menjadi bukti sepak bola kita memiliki harapan dan potensi besar untuk mencetak prestasi yang lebih tinggi lagi. Ayo kita kawal terus transformasi ini!” katanya di X.
Pejabat baru FIFA ini berkeluasan lebih 962 meter dan mampu memuatkan 40 orang pekerja.
Selain memiliki lounge eksekutif, ia turut memiliki kemudahan bilik mesyuarat, bilik persidangan, ruang pameran dan kemudahan sidang media.