Kejohanan FIFA e-World Cup menyaksikan Malaysia dan juga Indonesia berpeluang membawa pulang gelaran juara apabila masing-masing layak ke aksi final bagi kategori mobile serta konsol.
Skuad FAM eRimau kategori mobile mencipta sejarah apabila muncul negara pertama dari rantau Asia Tenggara yang mara ke perlawanan akhir FIFAe World Cup Ft eFootball 2024 bagi kategori mobile.
Pemain negara, Ahmad Muhaimin (Minbappe) tampil begitu cemerlang dengan melayakkan diri ke pentas final selepas menumpaskan Jepun dengan set 2-0 di pusingan suku akhir.
Momentum tersebut turut dibawa ke peringkat separuh akhir apabila Minbappe garang menewaskan pihak lawan daripada India di pusingan Separuh Akhir dengan set kemenangan 2-1.
Pada perlawanan akhir bagi kategori mobile, Malaysia bakal berentap menentang wakil dari benua Afrika, Maghribi yang turut layak selepas menyingkirkan Thailand di separuh akhir.
Sementara untuk kategori konsol, Indonesia membuktikan kekuatan di pentas dunia apabila menumbangkan Turki di separuh akhir dengan keputusan set 2-0 sekaligus mara ke final.
Menanti Indonesia di final adalah Brazil yang dipaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan Sepanyol di peringkat separuh akhir dengan keputusan set 2-1.
Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 12 Disember dengan aksi bagi kategori mobile bermula jam 8.30 malam manakala bagi kategori konsol pada ham 11.30 malam ini.