Pengurus pasukan Indonesia, Sumardji dikenakan hukuman berat oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Ini selepas jawatankuasa mendapati beliau bersalah atas kesalahan menolak pengadil ketika aksi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Iraq dan Indonesia pada 11 Oktober 2025.
Aksi tersebut menyaksikan pengadil China, Ma Ning melayangkan kad merah kepada Sumardji dan dua pemain Indonesia, Thom Haye dan Shayne Pattynama.
Ketiga-tiga individu itu dilayangkan kad merah kerana membuat bantahan melampau terhadap pengadil. Sumardji dibuang padang selepas didapati menolak Ma Ning dari belakang sehingga terjatuh.
Susulan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menilai insiden itu berdasarkan laporan pengadil, koordinator perlawanan, rakaman video dan foto yang diserahkan AFC.
Lantas, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan sebanyak 20 perlawanan kepada Sumardji. Beliau juga perlu membayar denda sebanyak 15,000 Swiss Franc (RM76,000).
Laporan Jawatankuasa Tatatertib FIFA berhubung insiden ini telah disiarkan di portal FIFA pada 16 Disember lalu.