Aksi dramatik kebangkitan pasukan Malaysia berdepan Korea Selatan berjaya meraih perhatian dunia termasuklah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
FIFA dilihat meninggalkan komen di ciapan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika perlawanan berakhir sebentar tadi.
“Perlawanan yang hebat sekali!”, tulis FIFA di ruangan komen di laman X FAM.
Aksi yang mendebarkan itu berjaya mencuri tumpuan badan induk bola sepak dunia dan komen tersebut berjaya mengumpul lebih dua ribu ulangsiar dan lebih tiga ribu tanda suka. Menerusi tinjauan MakanBola, rata-rata komen netizen bersetuju dengan komen tersebut.
Pada perlawanan tersebut, skuad bimbingan Kim Pan-gon mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengikat juara Piala Asia dua kali, Korea Selatan dengan keputusan 3-3.
Korea Selatan yang tampil sebagai pasukan pilihan cemerlang mendahului melalui tandukan Jeong Woo-yeong pada minit ke-22.
Malaysia berjaya mengejutkan jaguh Asia itu dengan dua jaringan menerusi Faisal Halim dan penalti Arif Aiman pada minit ke-51 dan 62.
Pemain tumpuan, Lee Kang-in menggembirakan skuad Korea melalui jaringan penyamaan menerusi sepakan percuma berkelas dunia sebelum kapten, Son Heung-min kembali meletakkan Taeguk Warriors di depan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Ketika aksi dilihat bakal berakhir dengan keputusan 3-2, Romel Morales muncul wira Harimau Malaya dengan gol penyamaan melalui rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.