Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menjatuhkan dua hukuman berat ke atas Indonesia.
Menurut perkongsian oleh laman Asean Football, badan induk bola sepak dunia itu telah mengirimkan surat rasmi kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai hukuman ini.
Hukuman ini dikenakan ke atas Indonesia susulan sikap diskriminasi penyokong Sang Garuda ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain tempoh hari.
“PSSI telah menerima surat rasmi daripada FIFA berhubung hukuman terhadap Indonesia susulan tingkah laku diskriminasi yang ditunjukkan oleh penyokong semasa perlawanan menentang Bahrain,” lapor Asean Football.
Dua hukuman yang dikenakan adalah denda berbentuk wang iaitu berjumlah USD25,000 bersamaan RM107,426 dan juga pengurangan penonton sebanyak 15% pada aksi seterusnya di laman sendiri.
Ini bermakna kapasiti penonton yang dibenarkan masuk akan dikurangkan sebanyak 15% ketika aksi Kelayakan Piala Dunia menentang China pada Jun di Stadium Utama Gelora Bung Karno.