Wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan lawatan ke projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
Rombongan FIFA terdiri daripada Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia & Oceania), Sanjeevan C. Balasingam, Ketua Pejabat Serantau FIFA (Asia Tenggara & Asia Timur), Lavin Vignesh dan Pengurus Pembangunan FIFA (Asia Timur), CJ Chen Jun.
Lawatan ini turut disertai Ahli Majlis FIFA merangkap mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Rombongan FIFA diiringi dua Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan N. Saaran. Turut hadir ialah Ahli Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Kerja-kerja bawah tanah fasa pertama NTC seperti penyediaan sistem saliran, sistem penuaian air hujan, tapak untuk pagar dan lampu limpah kini 50% siap.
Sekiranya pembinaan fasa pertama berjalan lancar seperti dirancang, fasa pertama NTC dijangka siap pada Disember 2026. Fasa kedua NTC pula dijangka siap pada Disember 2027.
NTC dibina menerusi dana FIFA dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).