Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan pemain dua pemain sayap, Arif Aiman Hanapi dan juga Angel Di Maria sebaris.
Baru-baru ini, laman FIFA telah memuat naik satu hantaran berhubung dua pemain sayap lincah ini sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air.
Arif yang juga merupakan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia menjadi watak penting pada peringkat kelab dan juga skuad Harimau Malaya.
Angel Di Maria juga merupakan lagenda Paris Saint Germain (PSG) juga merupakan juara dunia pada tahun 2022 bersama skuad kebangsaan Argentina.
Laman FIFA World Cup memfokuskan kepada gaya jaringan dua pemain ini yang menunjukkan tanda hati selepas menjaringkan gol.
“Dari pintu gol ke pintu hati,” ujar laman FIFA.
Pencapaian tertinggi tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bersama skuad Harimau Malaya adalah ketika membantu pasukan kebangsaan beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar.
Beliau juga merekodkan satu jaringan pada minit ke-62 berdepan pasukan ke-22 dunia, Korea Selatan ketika membantu Malaysia merekodkan keputusan seri 3-3 berdepan Taeguk Warriors pada aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023.