Advertisement
FIFA Mahu Rombak Semula Pelan Piala Dunia 2026
Dunia
MakanBola
Global News

Selepas aksi menghiburkan ditampilkan dalam peringkat kumpulan Piala Dunia 2022, FIFA kini sedang mempertimbang semula format Piala Dunia 2026. Ini kerana format baru membabitkan 48 pasukan itu ditakuti bakal membosankan penyokong yang menonton dan mencetuskan tindakan yang tak mencerminkan semangat kesukanan.

Untuk edisi Piala Dunia 2026, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico menjadi tuan rumah bersama temasya itu. Tetapi dengan format baru yang meletakkan tiga pasukan dalam satu kumpulan, ini boleh mengakibatkan sesetengah pasukan saling berpakat demi menyingkirkan pasukan ketiga dari peringkat kumpulan. Jika ini berlaku, ia bakal mencemarkan integriti pertandingan Piala Dunia dan menjadikan perlawanan terakhir kumpulan sebagai tidak bermakna.

Daripada 48 pasukan, 32 pasukan akan mara ke pusingan kalah mati bagi menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya hingga ke final. FIFA maklum dengan kebimbangan ini seawal Mac lepas menerusi komen Naib Presiden mereka, Victor Montagliani, “Ia satu isu yang akan dibangkitkan.” Ini bermakna masalah ini akan dibawa ke pertimbangan Majlis FIFA bagi menentukan solusi terbaik menjelang Piala Dunia 2026.

FIFA menerusi ketua pembangunan bola sepak global mereka, Arsene Wenger telah mencadangkan dua format alternatif. Pertama, 12 kumpulan terdiri daripada empat pasukan dengan pasukan tempat ketiga terbaik mengiringi dua pasukan terbaik setiap kumpulan ke pusingan kalah mati. Kedua, 48 pasukan dibahagikan kepada dua bahagian dengan setiap bahagian mempunyai enam kumpulan terdiri daripada empat pasukan. Pemenang daripada kedua-dua bahagian akan tampil di final.

Tidak kira format mana yang dipilih, ia bakal meningkatkan bilangan perlawanan daripada 64 perlawanan (Qatar 2022) kepada 80 perlawanan (Piala Dunia 2026) dalam tempoh sebulan. Dengan setiap kumpulan mempunyai empat pasukan, dijangkakan 104 perlawanan diadakan sekaligus memerlukan satu lagi minggu bagi melengkapkan semua perlawanan.

Dengan bilangan perlawanan yang banyak, ia bakal memberi tekanan kepada kecergasan dan kesihatan pemain terutama yang beraksi di liga-liga utama Eropah. Tetapi ia juga bakal menjanjikan pulangan kewangan yang lebih lumayan kepada FIFA terutama selepas menerima £6.1 bilion (RM33 bilion) dari segi pendapatan penajaan untuk edisi Qatar 2022.