Advertisements
China Malukan Vietnam
Asia
MakanBola
VFF

Hasrat Vietnam untuk mencipta kejutan ke atas pasukan tuan rumah, China dalam perlawanan persahabatan FIFA gagal apabila tewas 0-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Dalian sebentar tadi.

China memulakan dengan garang apabila memulakan gerak-gerak serangan bagi mengancam gawang Vietnam yang dikawal oleh Dang Van Lam.

Vietnam berpeluang berada di hadapan pada minit ke-8 melalui satu serangan balas yang pantas namun percubaan dari dalam kotak penalti oleh Pham Tuan Hai berjaya dihalang oleh pertahanan pasukan China.

Pham Tuan Hai sekali lagi mempunyai peluang keemasan pada minit ke-27 selepas pemain dari kelab Hanoi FC itu menggelecek beberapa pemain sebelum melepaskan rembatan namun sedikit tersasar.

Kedudukan terikat tanpa jaringan untuk separuh masa pertama.

Separuh masa kedua dimulakan dengan pasukan China meneruskan usaha mereka bagi mencari gol pertama perlawanan.

Usaha China nyata berbaloi apabila pemain gantian, Wang Qiuming meledak pada minit ke-56 selepas beliau tidak menunggu lama untuk menyudahkan hantaran dari Liu Yang. China di hadapan 1-0.

Tersentak dengan gol itu, Vietnam cuba mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan dan dalam masa yang sama, dua pertukaran dibuat dalam usaha mencari gol.

Pada minit ke-67, Do Hung Dung hampir menyamakan kedudukan hasil rembatan jarak jauh namun rembatannya melepasi palang.

Hasrat Vietnam untuk menyamakan kedudukan tampak mustahil apabila mereka dipaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang Nguyen Tien Linh diperintah keluar padang pada minit ke-87.

China akhirnya menambah jaringan kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua hasil jaringan pemain bintang mereka, Wu Lei selepas pemain Vietnam kehilangan bola di kawasan mereka sendiri.

Wisel penamat akhirnya ditiupkan dengan kemenangan berpihak kepada China yang menewaskan Vietnam 2-0. China akan meneruskan siri perlawanan persahabatan FIFA dengan aksi menentang Uzbekistan pada 16 Oktober. Manakala Vietnam pula akan berdepan gergasi asia, Korea Selatan pada 17 Oktober ini