Setelah lama menyepi, pemilik TRW Kelantan FC, Zamsaham kini kembali dengan satu hantaran di Facebook.
Zamsaham atau nama sebenarnya Norizam Tukiman adalah pemilik kelab TRW Kelantan FC sejak musim 2020 setelah beliau melaburkan lebih jutaan ringgit untuk miliki majoriti saham pasukan.
Walau bagaimanapun, ujian melanda pasukan dari Pantai Timur ini apabila satu demi satu pemain dan staf memilih untuk meninggalkan TRW Kelantan FC gara-gara masalah tunggakan gaji.
Hal ini memaksa TRW Kelantan FC mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas rayuan untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak Malaysia Football League (MFL) pada tahun lepas.
Di laman Facebook, Zamsaham kembali memuat naik sebuah hantaran setelah hampir setahun menyepi dengan menjawab beberapa isu lama TRW Kelantan FC yang turut membabitkan pasukan terbaru iaitu Kelantan RW.
“Saya ingin menjelaskan beberapa perkara berhubung isu yang sedang dikaitkan dengan saya dan perkembangan semasa bola sepak Kelantan.”
“Pertama sekali, penggunaan logo TRW dan konsep Reborn ia merupakan kesilapan yang berlaku adalah apabila KRW sendiri menggunakan logo TRW serta konsep Reborn. Perkara ini kemudiannya dilihat oleh pemain antarabangsa dan mereka mempunyai hak untuk membuat laporan kepada FIFA sekiranya merasakan terdapat persamaan atau isu berkaitan. Rasanya FIFA tidak bodoh.”
“Saya percaya FIFA mempunyai prosedur dan penilaian tersendiri dalam perkara seperti ini. Saya tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan mana-mana pihak yang merasakan hak mereka terjejas.”
“Selepas itu, isu hutang gaji dan EPF. Berkaitan hutang gaji dan EPF kakitangan TRW, hampir keseluruhannya telah saya selesaikan sendiri, kecuali beberapa perkara yang melibatkan pemain import.”
“Masalah berkaitan TRW pada ketika itu saya cuba selesaikan sendiri dan saya tidak pernah meminta atau menyuruh mana-mana pihak membuat laporan kepada FIFA.”
“Sekiranya mereka melihat terdapat persamaan atau mempunyai tuntutan tertentu, itu adalah hak mereka dan saya tidak boleh menghalang tindakan tersebut.”
“Seterusnya, dakwaan saya menghancurkan bola sepak Kelantan. Saya serahkan kepada orang ramai untuk menilai. Ketika saya mengambil alih TRW dahulu, keadaan pasukan ketika itu sudah berada dalam situasi yang sangat nazak. Saya kemudiannya menyelesaikan hutang berjumlah lebih RM8 juta.”
“Jika pada hari ini masih terdapat hutang, jumlahnya tidaklah sebanyak ketika saya mula mengambil alih dahulu.”
“Saya juga berjaya menyelesaikan masalah hutang, mengatasi masalah transfer ban dan membuka ruang untuk TRW mendapatkan khidmat pemain import pada ketika itu.”
“Jadi, saya tidak pernah berniat untuk menghancurkan bola sepak Kelantan. Sebaliknya, saya telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan dan memastikan TRW terus bertahan. Jika saya dianggap punca, saya terima.”
“Kalau ada yang mahu mengatakan saya adalah punca kepada segala masalah ini, itu terpulang kepada mereka.”
“Malah, terdapat juga hutang Persatuan Bola Sepak Kelantan berjumlah sekitar RM3 juta kepada saya. Namun, saya memilih untuk berdiam diri kerana saya memahami keadaan dan tahu persatuan ketika itu tidak mempunyai kemampuan untuk membayar kepada TRW.”
“Saya telah cuba memberikan yang terbaik untuk bola sepak Kelantan. Selepas berundur, saya memilih untuk berdiam diri dan tidak pernah mengganggu atau mencampuri urusan KRW.”
“Namun, apabila timbul masalah, nama saya masih dikaitkan.”
“Selain itu, saya turut melakukan pertemuan dengan pihak CEO dan Nasken. Para penyokong juga perlu tahu bahawa CEO dan Nasken pernah datang berjumpa dengan saya pada awal tahun ini.”
“Walaupun pertemuan tersebut berlaku pada waktu malam, saya tetap meluangkan masa untuk berjumpa dan berbincang dengan mereka.”
“Pada ketika itu, saya telah mengingatkan bahawa masalah sekatan perpindahan perlu diselesaikan segera demi memastikan kekuatan pasukan dan kelangsungan KRW.”
“Saya tidak mahu perkara ini terus dipanjangkan atau menjadi pertelingkahan. Kepada semua yang memahami keadaan saya, saya memilih untuk terus berdiam diri daripada memberikan terlalu banyak komen mengenai bola sepak.”
“Saya juga tidak mahu meraih simpati daripada sesiapa. Apa yang saya minta hanyalah doa agar saya diberikan kekuatan dan dipermudahkan untuk bangkit semula serta menyelesaikan baki hutang perniagaan dan segala perkara berkaitan.”
“Saya sentiasa mendoakan agar segala masalah yang berlaku ini dapat diselesaikan dengan baik demi KRW, para penyokong dan semua pihak yang terlibat. Terima kasih kepada semua yang memahami,” kata Zamsaham dalam satu kenyataan di laman Facebook milik beliau.
Kelantan RW dijangka kekal tidak dapat membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan pertama musim ini kerana tarikh tutup berlaku pada esok, 3 September 2026.