Malaysia B-16 membuka kempen FIFA Youth Series dengan langkah kiri setelah akur tewas tipis kepada Paraguay.
Anak buah Javier Jorda terbang ke Zurich, Switzerland untuk mengikuti kejohanan FIFA Youth Series sebagai satu-satunya wakil Asia menentang Paraguay (Amerika Latin) serta Tunisia (Afrika) di kumpulan B.
Permainan berlangsung seimbang sepanjang babak pertama dengan Paraguay dilihat lebih selesa memegang bola namun tampak buntu bagi mencari jalan menembusi kawasan skuad muda negara.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Paraguay.
Kembali dari rehat, jaringan yang dicari akhirnya muncul 7 minit bersambung babak kedua apabila pemain Paraguay Jonathan Rolon menyambar hantaran silang menewaskan penjaga gol muda Malaysia.
Gol itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Malaysia B-16 tewas 0-1 di tangan Paraguay.
Selepas ini, skuad muda Malaysia ini akan turun berdepan wakil benua Afrika, Tunisia pada Isnin, 19 Mei sementara Paraguay bakal menentang lawan yang sama pada Selasa, 20 Mei.