FIFA Youth Series: Malaysia Tumbang Di Tangan Tunisia
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) mengalami kekalahan kedua dalam saingan FIFA Youth Series apabila tewas kepada Tunisia dalam aksi kedua Kumpulan B.

Skuad negara yang dibimbing Javier Jorda Ribera perlu mendapatkan kemenangan ke atas wakil Afrika Utara itu jika mahu bersaing untuk penentuan tempat ketiga/keempat kejohanan.

Ini ditambah selepas skuad negara tumbang kepada wakil Amerika Selatan, Paraguay dalam aksi pertama Kumpulan B.

Sentuhan kapten, Arayyan Hakeem Norizam terus ditagih untuk membantu skuad negara memburu gol.

Separuh masa pertama menyaksikan permainan seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan. Meskipun berdepan lawan yang memiliki tubuh fizikal yang lebih besar, itu bukan halangan buat skuad Malaysia B-16.

Skuad negara bernasib malang apabila kehilangan khidmat Syazani Yussairi Yuszairi. Ini selepas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-16 itu dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Syazani dikesan melakukan terjahan merbahaya ke atas penyerang Tunisia, Islem Aloui. Meskipun cuba dibantah oleh pemain-pemain negara, pengadil tetap mempertahankan keputusannya.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, anak buah Ribera memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan berusaha meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol pendahuluan.

Yusuf Nasrullah Ramli hampir memecah kebuntuan buat skuad negara pada minit ke-59. Malangnya, percubaan leret beliau berjaya disekat penjaga gol Tunisia, Samy Daghrour.

Tindakan penjaga gol negara, Syafiq Hidayat Ismail Abdullah keluar dari kotak penalti pantas dihukum Tunisia. Ini membuka ruang buat Anas Trimech melepaskan rembatan ke arah gol pada minit ke-65.

14 minit kemudian, giliran Becem Frigui pula mencetak nama sebagai penjaring. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan B tanpa sebarang mata. Kini, skuad Malaysia B-16 menunggu keputusan Kumpulan A bagi mengetahui siapa lawan mereka untuk penentuan tempat kelima/keenam.

Perlawanan tempat kelima/keenam FIFA Youth Series bakal diadakan pada 21 Mei ini.