Skuad kebangsaan Filipina bakal dicabar pasukan yang menduduki ranking ke-203 dunia, Sri Lanka dalam aksi persahabatan antarabangsa bulan November.
ASEAN Football melaporkan aksi ini sebagai sebahagian daripada persiapan anak buah Albert Capellas menjelang ASEAN Championship 2024 yang membuka tirainya pada Disember ini.
Meskipun pasukan itu berstatus ranking ke-202 dunia, The Azkals dijangka tidak memandang enteng cabaran anak buah Abdullah Al Mutairi itu.
Ini kerana Sri Lanka mengamalkan corak permainan yang bersifat agresif dan menyerang. Taktik ini membantu pasukan yang diberi jolokan The Golden Army itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Kejayaan itu dicapai dengan menyingkirkan Kemboja 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti. Kekalahan tersebut turut menyebabkan pasukan Asia Tenggara itu memecat jurulatih Argentina, Felix Dalmas.
Selain itu, mereka juga berjaya mengikat Myanmar tanpa jaringan dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 13 Oktober lalu. Keputusan ini diraih selepas tewas 2-0 kepada lawan sama dalam aksi persahabatan pertama pada 10 Oktober.
Selain Sri Lanka, Filipina juga bakal berhadapan cabaran skuad kebangsaan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa.
The Azkals bakal menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 14 November. Ini disusuli aksi menentang The Golden Army di Stadium Bola Sepak Peringatan Rizal pada 19 November ini.