Sebagai persiapan menghadapi baki dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan hadapan, Filipina memanggil 10 pemain yang berpangkalan di Eropah dan Amerika Utara.
ASEAN Football melaporkan antara yang menerima panggilan jurulatih Belgium, Tom Saintfiet ialah Neil Etheridge (Birmingham City), Santiago Rublico (Atletico Madrid), Paul Tabinas (Vukovar 1991), Adrian Ugelvik (Levanger) dan Scott Woods (Eik Tonsberg).
Manakala Matthew Baldisimo (York United), Michael Baldisimo (San Jose Earthquakes), Zico Bailey (New Mexico United), Alex Monis (New England Revolution II) dan Dylan Demuynck (Zulte Waregem) melengkapkan senarai 10 pemain yang dipanggil.
11 pemain lagi dipanggil daripada kelab-kelab yang berpangkalan di Asia Tenggara. Manakala tujuh lagi dipanggil daripada kelab-kelab tempatan.
Antara nama pemain Filipina yang cukup dikenali ialah Patrick Reichelt (KL City FC), Kevin Ray Mendoza (Persib Bandung), Jesper Nyholm (Perak FC), OJ Porteria (Dewa United) dan Kevin Ingreso (One Taguig).
Daripada 28 pemain yang dipanggil, lapan daripadanya dijangka berusaha untuk mendapatkan penampilan pertama bersama Filipina di peringkat antarabangsa
Saintfiet turut memutuskan untuk tidak memanggil beberapa pemain yang beraksi semasa menentang Iraq pada Mac lalu. Antara pemain yang tidak dipanggil ialah Mike Ott, Jefferson Tabinas dan Kenshiro Daniels.
Selepas tewas dalam dua aksi kelayakan menentang Singa Mesopotamia pada Mac lalu, Saintfiet mengharapkan keputusan lebih baik untuk dua aksi kelayakan pada bulan hadapan.
Filipina bakal berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh pada 6 Jun ini. Ini disusuli perlawanan menentang Indonesia pada 11 Jun di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.