Filipina bertindak pantas mendapatkan pengganti Tom Saintfiet dengan mengumumkan Albert Capellas sebagai jurulatih baru pasukan itu.
Pelantikan ini diumumkan pengurusan Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi pasukan itu.
Dengan pengumuman ini, pengendali interim, Norman Fegidero dijangka kembali menggalas peranan penolong jurulatih skuad senior dan jurulatih skuad Filipina Bawah 23 Tahun (B-23).
Capellas memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan di Eropah. Beliau pernah menggalas peranan kejurulatihan bersama Barcelona, Brondby, Borussia Dortmund, Vitesse Arnhem dan FC Midtjylland.
Menariknya, jurulatih berusia 56 tahun itu pernah menjadi penolong jurulatih beberapa pengurus terkemuka. Antaranya ialah bos Brentford, Thomas Frank, Peter Bosz dan Fred Rutten.
“Sukacita kami umumkan pelantikan Albert Capellas sebagai ketua jurulatih kami yang baru. Digilap di La Masia, Coach Albert membawa pengalaman luas daripada tempohnya di FC Barcelona, Borussia Dortmund dan FC Midtjylland.
“Beliau juga pernah bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih seperti Thomas Frank dan Peter Bosz. Selamat datang ke Filipina, Coach Albert!” kata pengurusan PFF dalam satu kenyataan.
Menariknya, Capellas sudah bersama The Azkals untuk mengharungi kempen Pestabola Merdeka 2024. Beliau membantu Fegidero mengatur pelan taktikal berbeza bagi menghadapi aksi menentang Malaysia dan Tajikistan.
Nama Capellas juga bakal menarik perhatian pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama di Barca selama setahun dari 2021 hingga 2022.
Pau Marti kemudiannya menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai penolong jurulatih kepada jurulatih Harimau Malaya ketika itu, Kim Pan-gon pada Februari 2022.