Final Piala FA Catat Rekod Jumlah Kehadiran Tertinggi Di Asia Tenggara
MakanBola
Johor Southern Tigers

Final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencipta rekod tersendiri apabila merekodkan kehadiran tertinggi dalam aksi kejohanan domestik ASEAN tahun 2024.

Aksi final Piala FA 2024 menemukan dua pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC.

Ad

Arif Aiman Hanapi, Heberty Fernandes, Bergson da Silva dan hatrik Juan Muniz memastikan trofi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut milik Harimau Selatan. Sementara Merah Kuning meraih gol saguhati menerusi Alvin Fortes.

Ad

Menariknya, aksi final ini berjaya merekodkan kehadiran seramai 80,350 orang. Angka ini mengatasi rekod kehadiran 31,689 orang yang dicatatkan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA antara Terengganu dan Selangor.

Ini sekaligus menjadikan kehadiran aksi final Piala FA 2024 sebagai yang teramai dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) setakat musim 2024/25.

Ad

Malah, menurut ASEAN Football, angka ini turut mengatasi rekod kehadiran aksi kejohanan domestik beberapa negara ASEAN.

Ad

Misalnya, final Thai League Cup 2023/24 pada 16 Jun lalu membabitkan BG Pathum United dan Muangthong United hanya merekodkan kehadiran 15,755 orang.

Ad

Angka sama turut mengatasi jumlah rekod kehadiran untuk aksi final pertama Liga 1 Indonesia musim 2023/24 antara Persib Bandung dan Madura United pada 26 Mei lalu. Final pertama itu merekodkan kehadiran 20,655 orang.

Angka final ini juga turut mengatasi rekod kehadiran yang dicatatkan dalam aksi final Piala FA 2023 antara JDT dan KL City FC. Aksi final yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu merekodkan kehadiran 33,598 orang.