Fizikal Terjejas Punca Vietnam Kalah Kepada Thailand
MakanBola
Vietnam FF

Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik melihat faktor kecergasan sebagai punca pasukan itu tewas kepada Thailand dalam aksi persahabatan pada 10 September lalu.

Vietnam berharap dapat menutup kempen Tri Nation Championship 2024 dengan kemenangan selepas tewas 3-0 kepada Russia pada 5 September lalu.

Nguyen Tien Linh memberi kelebihan awal kepada Pahlawan Bintang Emas dengan gol pada minit ke-21. Walau bagaimanapun, dua gol yang disumbang Suphanat Mueanta dan Patrik Gustavsson memastikan Thailand meraih kemenangan pada akhir perlawanan.

Sang-sik melihat ramai pemainnya belum mencapai tahap kecergasan yang terbaik disebabkan kempen V. League 1 musim 2024/25 belum bermula.

“Jika dibandingkan dengan Jun, pemain yang baru saja bermain dalam V. League patut berada dalam keadaan terbaik (dan) mampu bermain selama 90 minit.

“Buat masa ini, para pemain tidak dapat bermain lama,” katanya kepada media seperti dilaporkan VNExpress. Sang-sik turut menambah pemain-pemain Vietnam perlu memiliki kecergasan fizikal seperti pemain Thailand jika mahu menyaingi mereka.

Kekalahan tersebut turut membantutkan impian jurulatih Korea Selatan itu untuk mendapatkan kemenangan buat warga Vietnam. Ini kerana negara itu baru saja dilanda Ribut Tropika Yagi.

Sang-sik berharap dapat mendedikasikan kemenangan ke atas Gajah Perang buat rakyat Vietnam tetapi itu gagal direalisasikan. Atas sebab itu, beliau memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan janjinya.

“Saya mahu memenangi perlawanan ini tetapi saya gagal lakukannya. Sebagai jurulatih, saya tak boleh berpuas hati,” tambahnya.

“Ribut Tropika Yagi membawa banyak kepayahan kepada warga Vietnam. Saya mahu pasukan untuk menang sebagai hadiah spiritual kepada mereka tetapi malangnya, itu sesuatu yang mustahil.”

Selepas ini, Vietnam bakal mengalihkan fokus untuk dua aksi persahabatan seterusnya pada Oktober ini.