Percaturan yang membuahkan hasil oleh jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrückner ketika membawa pasukannya untuk mengikat Sabah semalam bakal mengubah ceritanya di Terengganu.
Pasukan pelawat dikejutkan dengan dua jaringan oleh The Rhinos yang seakan telah menutup ruang buat Terengganu memperoleh mata pada perlawanan ini.
Namun begitu, dua sepakan percuma oleh Sony Norde telah memastikan pasukannya berjaya mencuri satu mata.
Perkara ini disuarakan oleh bekas pertahanan Kelantan, Subramaniam yang memuji tindakan pantas pengendali kelahiran Croatia itu untuk membawa masuk Syafiq Ismail bagi menajamkan jentera serangan pasukan.
Ini juga membawa kepada dua jaringan yang diperoleh Terengganu sekaligus pulang dengan satu kata.
“Tomislav membuat pertukaran pantas dengan memasukkan Syafiq Ismail dan kesan kepada pertukaran ini berjaya membantu kebangkitan Terengganu.”
“Ia bagus kerana jurulatih ini sedar ada pemain yang tidak berfungsi dengan baik dan Syafiq Ismail mampu memberikan nilai tambah dengan hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti,” jelasnya kepada Astro Arena.
Menurut pemerhatian lagenda bola sepak Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha bersama Astro Arena, beliau tidak menyangka pemain sayap Terengganu, Sony Norde memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.
Perkara ini juga berkemungkinan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh Tomislav susulan prestasi kurang memberangsangkan Terengganu sejak kebelakangan ini.
Terdapat juga khabar angin yang mengaitkan pertukaran jurulatih yang melibatkan kelab pantai timur namun masih tiada pengesahan rasmi setakat ini.