Frappart Pengadil Wanita Pertama Piala Dunia
Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Satu lagi sejarah Piala Dunia bakal dilakar dalam perlawanan terakhir Kumpulan E membabitkan Jerman dan Costa Rica pada awal pagi 2 Disember. Ini kerana pengadil wanita Perancis Stephanie Frappart telah dipilih sebagai pengadil perlawanan tersebut. Frappart akan dibantu oleh dua penolong pengadil wanita Neuza Beck (Brazil) dan Karen Diaz Medina (Mexico) untuk perlawanan itu di Stadium Al-Bayt.

Sebelum ini, Frappart telah mencipta sejarah sebagai pegawai keempat wanita pertama dalam sejarah Piala Dunia. Rekod tersebut dicipta dalam perlawanan Kumpulan C membabitkan Poland dan Mexico pada 23 November lalu. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan penalti bekas penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski dinafikan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

Dalam temubualnya bersama BBC Sport sebelum Piala Dunia bermula, beliau berkata, “Kita tahu pasal tekanan. Tetapi saya fikir itu tak akan ubah diri kita. Kekal tenang, beri tumpuan, fokus dan jangan terlampau fikir tentang banyak perkara termasuk media, hanya fokus tentang apa yang berlaku atas padang.”

Advertisements

Pengadil Ligue 1 ini banyak kali mencipta pencapaian tersendiri sebagai pengadil wanita. Beliau merupakan pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan Piala Super Eropah 2019 Liverpool dan Chelsea. Frappart juga turut mencipta sejarah sebagai pengadil wanita pertama perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Mac 2021 membabitkan Belanda dan Latvia.

Selain Frappart, ada lima lagi pegawai perlawanan wanita untuk Piala Dunia 2022. Mereka ialah Salima Mukansanga (Rwanda), Yoshimi Yamashita (Jepun), Kathryn Nesbitt (Amerika Syarikat), Beck dan Diaz Medina. Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FIFA Pierluigi Collina, mereka dipilih atas dasar merit dan bukan sebab sensasi.

Tambahnya lagi, “Mereka layak berada di Piala Dunia kerana mereka sentiasa konsisten beraksi di peringkat tertinggi dan itu satu faktor penting bagi kami (Jawatankuasa Pengadilan FIFA).”

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram