Gabriel Nistelrooy Ikut Jejak Bergson
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Gabriel Nistelrooy Tamin membuktikan beliau mampu mengikuti jejak penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva.

Bintang berusia 24 tahun yang sudah lama beraksi bersama pasukan gergasi tanah air itu merekodkan 21 jaringan sepanjang saingan Piala MFL yang melabuhkan tirainya pada Isnin.

Jaringan tersebut sudah memadai buat Nistelrooy bagi meraih Anugerah Kasut Emas selepas gagal melakukannya pada saingan musim lalu.

Dengan rekod jaringan tersebut, Nistelrooy telah mengikuti jejak langkah Bergson yang hampir pasti menjadi penjaring terbanyak bagi saingan Liga Super dengan setakat ini merekodkan 31 gol.

Pada aksi terakhir Piala MFL, JDT II tidak berdepan masalah apabila berjaya menewaskan Penang FC II dengan keputusan 7-0. Nistelrooy yang beraksi sebagai penyerang utama turut menyumbangkan dua jaringan.

Kemenangan itu membolehkan JDT II merangkul gelaran juara Piala MFL bagi saingan musim 2024/2025 dengan Selangor FC II menduduki tangga kedua.

Pada musim lalu, Nistelrooy menjadi penjaring kedua terbanyak Piala MFL dengan 13 gol dan hanya dibezakan tiga gol dengan penjaring terbanyak musim lalu dari Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B), Ebenezer Assifuah yang meledak 16 gol.

Rekod jaringan luar biasa yang dimiliki Nistelrooy ini sudah pasti akan mencerahkan peluang beliau menembusi skuad utama JDT yang mempunyai lambakan pemain dan penyerang yang berkualiti.