Penjaring terbanyak Piala MFL musim 2024/25, Gabriel Nistelrooy sudah mula menunjukkan taring bersama pasukan barunya, Kuching City FC.
Ini selepas The Cats meraih kemenangan besar 5-1 ke atas skuad Brunei Bawah 23 Tahun (B-23) dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Miri.
Aksi ini merupakan sebahagian daripada persiapan Brunei bagi menghadapi cabaran Piala Mandiri ASEAN B-23 2025.
Menariknya, tiga daripada lima gol Kuching City dijaringkan oleh Gabriel. Ini memperlihatkan beliau semakin serasi dengan corak pemainan Aidil Sharin Sahak.
Malah, beberapa penyokong Kuching City turut memuji impak penyerang berusia 25 tahun itu. Nazz N. Khalit gembira melihat Gabriel meledakkan tiga gol.
“Tiga gol daripada Gabriel (Nistelrooy). Hebat,” katanya di ruang komen Facebook. Aziz Are-jiz turut bersetuju dan berharap itu membantu Gabriel lebih berbisa apabila Liga Super bermula nanti.
“Harap-harap Gabriel kekalkan momentum pencetak gol masa saingan liga kelak,” ujarnya.
Gabriel bakal bersaing dengan Jordan Mintah, Amirrul Iqmal Bolhi dan Hazwan Bakri untuk merebut slot penyerang utama.