Pemain pertahanan Malaysia, Gabriel Palmero akhirnya meraih penampilan senior pertama bersama kelab La Liga 2, CD Tenerife.
Ini selepas jurulatih Tete, Alvaro Cervera menamakan beliau dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang FC Cartagena pada 17 Mei lalu.
Palmero beraksi selama 45 minit sebelum digantikan oleh Jeremy Mellot pada separuh masa kedua perlawanan.
Ini menjadikan beliau pemain Malaysia terbaru yang beraksi dalam saingan liga Sepanyol. Sebelum ini, Kiko Insa, Natxo Insa dan Hector Hevel juga pernah beraksi dalam saingan liga negara itu.
Cartagena meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Alex Millan pada separuh masa pertama.
Tete juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk sebahagian besar perlawanan. Ini selepas Anthony Landazuri dilayangkan kad merah pada minit ke-18.
Penampilan pertama Palmero dijangka memberi keyakinan kepada beliau apabila menyertai kem Harimau Malaya. Beliau bakal melapor diri untuk fasa pertama kem pada 19 Mei ini.