Kelibat bek kiri Harimau Malaya, Gabriel Palmero sudah pun kelihatan di Johor pada Khamis.
Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski ketika ini berkampung di Johor Bharu bagi mengikuti kem latihan fasa pertama yang sudah pun memasuki hari ke-4 sejak Isnin lalu.
Sesi latihan fasa pertama ini menyaksikan 28 daripada 38 pemain melaporkan diri dengan nama-nama seperti Hong Wan, Faisal Halim, Arif Aiman dan penjaga gol, Haziq Nadzli.
Bek kiri CD Tenerife, Gabriel Palmero yang dijadualkan untuk berada di kem latihan ini bagaimanapun tidak kelihatan sejak Isnin lalu dan difahamkan belum tiba setelah meraih debut di Liga 2 Sepanyol.
Pada Khamis, kelibat pemain berusia 23 tahun ini akhirnya muncul bersama para pemain yang lain ketika sesi latihan yang diadakan di Padang Seri Gelam, Johor Bharu di sebelah malam.
Palmero yang masih belum memperoleh kaps bersama skuad Harimau Malaya bakal bersaing bersama pemain-pemain lain di posisi bek kiri seperti Corbin Ong, Zikri Khalili dan Shafizan Arshad.
Para pemain kebangsaan ini sedang membuat persiapan rapi menjelang dua aksi persahabatan bertemu Cape Verde pada 29 Mei dan 3 Jun ini sebelum berdepan Vietnam pada 10 Jun dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.