Penghujung musim 2024/25 bakal menyaksikan lima bintang Man United meninggalkan Old Trafford.
TBR Football melaporkan lima bintang berkenaan ialah Anthony Martial, Raphael Varane, Aaron Wan-Bissaka, Jonny Evans dan Tom Heaton.
Sekiranya perkara ini berlaku, kelab bakal mendapat penjimatan dari segi kos gaji sebanyak £50 juta (RM297 juta).
Ini amat membantu memandangkan kelab itu memiliki bil gaji tertinggi dalam kalangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan nilai £331 juta (RM1.9 bilion).
Selain itu, United juga perlu berbelanja secara berhemah pada musim panas ini bagi memastikan mereka tidak melanggar Peraturan Kelestarian dan Keuntungan EPL (PSR).
Martial dan Varane sah akan meninggalkan kelab apabila kontrak mereka berakhir pada 30 Jun ini. Wan-Bissaka juga dijangka mengikut jejak mereka meskipun mempunyai baki kontrak setahun.
Sementara khidmat dua pemain veteran iaitu Evans dan Heaton dijangka tidak diperbaharui apabila kontrak mereka tamat pada 30 Jun.
Varane dan Martial masing-masing memiliki gaji sebanyak £350,000 (RM2 juta) dan £250,000 (RM1.5 juta) seminggu. Dari segi kos gaji tahunan, kedua-duanya menerima gaji sekitar £18.2 juta (RM108 juta) dan £13 juta (RM77 juta) setahun.
Manakala Wan-Bissaka pula menerima gaji sekitar £4.7 juta (RM28 juta) setahun. Meskipun Evans dan Heaton dilaporkan menerima gaji sekitar £50,000 (RM297,000) seminggu, mereka akan membantu kelab menjimatkan kos sekitar £5.2 juta (RM31 juta) setahun.
Kelima-lima bintang ini dijangka disusuli pemergian bintang-bintang lain seperti Christian Eriksen, Sofyan Amrabat dan Casemiro. Ini sebagai sebahagian daripada perubahan kelab yang digerakkan pemegang saham minoriti United, Sir Jim Ratcliffe.