Gallifuoco: Liga Malaysia Perlu Sokongan Kewangan Mantap

Giancarlo Gallifuoco KL City FC Gallifuoco: Liga Malaysia Perlu Sokongan Kewangan Mantap
KL City FC
Azim Noor @mohdazim45
3:33pm 05/07/2023

Bukan sekali peminat Liga Malaysia (Liga M) mendengar kisah pasukan-pasukan dilanda masalah kewangan. Bagi bek tengah KL City FC, Giancarlo Gallifuoco, masalah inilah yang menghalang Liga M daripada mencapai potensi sebagai sebuah liga yang berkualiti.

Pandangan beliau ini bukan saja berdasarkan pengalaman beraksi di liga Asia dan Eropah. Malah, ia ditambah dengan pengalamannya bersama City Boys yang kini memasuki tahun ketiga.

“Ini tahun ketiga saya di sini dan saya fikir semua orang tahu betapa sayangnya saya kepada negara ini,” katanya yang pernah beraksi untuk skuad remaja Tottenham Hotspur.

“Saya beraksi di Australia, England, Wales, Itali, Liga Juara-Juara AFC, Piala Asia, Coppa Italia.. banyak negara dan banyak pertandingan, jadi saya boleh katakan sepenuh hati bahawa Liga M mempunyai banyak potensi.

“Ia mempunyai ramai pemain yang bagus, bola sepak berkualiti dan para penyokongnya menakjubkan tetapi saya fikir ia memerlukan sokongan kewangan yang konsisten.

“Saya (mungkin) bias disebabkan situasi saya ketika ini (bersama KL City) tetapi saya amat mengagumi pasukan-pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencipta apa yang dimiliki pasukan Eropah.

“Mereka konsisten, mereka mempunyai tempat latihan yang bagus, stadium yang cantik dan mereka sentiasa cuba menambahbaik kualiti setiap tahun.

“Tetapi untuk pasukan lain, selepas tiga atau empat tahun, kedudukan kewangan mereka merosot dan akibatnya pertumbuhan mereka terbantut, itulah masalahnya,” tambahnya.

Dengan menjadikan KL City FC sebagai contoh, Gallifuoco boleh membayangkan kemajuan yang bakal dinikmati pasukannya sekiranya mendapat sokongan kewangan yang mantap.

“Saya berfantasi tentang apa yang akan berlaku sekiranya kita ada seseorang yang memberi sejumlah ‘X’ setiap tahun dan membenarkan kami lebih maju.

“(Kita boleh) laksanakan pelan 5-15 tahun dengan sokongan komuniti, berhubung dengan sekolah-sekolah dan dibenarkan memiliki kewangan untuk mengintegrasikan diri kami dalam budaya bandaraya itu sendiri.

“Sebagai seseorang yang menyayangi kelab ini dan negara ini, inilah impian saya untuk bola sepak di Malaysia kerana saya percaya Asia Tenggara terutamanya ialah gergasi (bola sepak) yang sedang tidur,” ujarnya.