Saingan Liga Super kembali bersambung malam ini dengan Kelantan FC melayan kunjungan Sri Pahang FC. Biarpun skuad Kijang berada di kelompok tercorot liga, skuad Tok Gajah tetap berwaspada dengan pasukan tersebut.
Ini kerana pertama, malam ini, mereka beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu. Kedua, The Red Warriors (TRW) turut menerima sentuhan jurulatih baru iaitu Angel Alfredo Vera dari Argentina menggantikan jurulatih sebelumnya, Frank Bernhardt.
Digabungkan dengan kombinasi pemain-pemain muda dan berpengalaman, Kelantan FC berupaya memberi kesukaran kepada anak-anak buah Fandi Ahmad. Justeru, Fandi mahu anak-anak buahnya berhati-hati dan memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan malam ini.
“Kita harus berhati-hati pasal mereka have nothing to lose. Mereka (akan) bermain 100% dan mempunyai pemain-pemain yang jarang bermain, mungkin ada peluang untuk mereka.
“Pasti mereka akan bermain 100%. Dan kita akan fokus kepada pasukan kita (daripada) pasukan Kelantan (FC) kerana mungkin mereka ada beberapa masalah.
“Tetapi masalah itu bila berlaku perlawanan, kita waspada, kita sedia yang terbaik untuk diri kita dan kita dapat mata sepenuhnya,” katanya kepada Astro Arena.