Gelagat dua tonggak KL City FC, Azri Ghani dan Giancarlo Gallifuoco menyanyikan lagu raya mencuit hati ramai peminat bola sepak negara.
Video mereka menyanyikan lagu Defam, Alamak Raya itu disiarkan di platform media sosial rasmi radio Era.
Azri dan Gallifuoco yang segak memakai baju Melayu kelihatan bersahaja menyanyikan lagu tersebut bersama bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.
Safee bukan asing dengan duo berkenaan kerana pernah beraksi buat The City Boys dari 2021 hingga 2022.
Persembahan trio berkenaan menjadi bualan ramai bukan saja peminat bola sepak. Malah, figura dunia hiburan juga tidak kering gusi melihat persembahan Azri, Gallifuoco dan Safee.
Seorang penyokong bernama Mz_klc29 menganggap persembahan sebegini menjadikan mereka terutama Gallifuoco sebagai legenda KL City sepanjang zaman.
“Sah legenda sepanjang zaman KL,” katanya di ruang komen Instagram Era.
Pemerhati bola sepak KL City, Nizam Archibald pula menyifatkan Gallifuoco berpeluang membuat penampilan di layar perak pula selepas ini.
“Iklan, menyanyi dan selepas ini, filem. Tiada apa yang boleh halang anda sekarang!” katanya.
Azri dan Gallifuoco merupakan tetamu program #SuperSafee Raya Era yang disiarkan pada hari ini.