Gelagat seorang pemain Nepal yang cuba merantai Corbin Ong dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027 mencuri perhatian peminat bola sepak negara.
Insiden ini dipercayai berlaku dalam separuh masa pertama aksi Malaysia dan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac lalu.
Corbin, 33, dilihat cuba mencari peluang sesuai melakukan hantaran ke dalam kotak penalti The Gorkhalis.
Beliau cuba dihalang pemain tengah Nepal, Ayush Ghalan sehingga menyebabkan pemain Macchindra itu terjatuh. Walaupun sudah terjatuh, Ghalan dilihat memegang kaki Corbin untuk menghalangnya melepaskan diri.
Susulan itu, pengadil Jepun, Hiroki Kasahara tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kepada pemain berusia 21 tahun itu.
Malaysia kemudianya mendahului 1-0 menerusi pemain perancang Portimonense, Hector Hevel. Corbin kemudiannya menyumbat gol kedua pada separuh masa kedua untuk memastikan Malaysia menang 2-0.
Insiden membabitkan pemain Nepal dan bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi bualan penyokong di media sosial.
Seorang penyokong bernama Hafiz Ikmal beranggapan tindakan Ghalan persis seorang penggusti. “Macam ajak bergusti,” katanya di ruang komen TikTok.
Seorang lagi penyokong bernama MissFakiraMY turut senada dengan dia. Meskipun dia melihat insiden itu melucukan, dia faham mengapa Corbin tidak berpuas hati dengan tindakan Ghalan.
“Gelak jugalah (bila lihat insiden) ini. Marah kawan (Corbin) itu. Macam-macam,” ujarnya.
Malaysia kini mengalihkan fokus kepada aksi kedua kelayakan menentang Vietnam pada 10 Jun.