Tatkala pasukan-pasukan Liga Super sibuk membuat persiapan bila saingan liga bersambung pada 23 Jun, PDRM FC pula membuat kejutan semalam. Ini selepas Sang Saka Biru memutuskan untuk merehatkan jurulatih mereka, Azzmi Aziz serta-merta.
Keputusan ini mengejutkan ramai penyokong bola sepak disebabkan pencapaian Azzmi membimbing The Cops ke kedudukan kelapan liga. Di bawah bimbingannya, PDRM FC turut mencipta kejutan menumbangkan Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.
Sebaik berita ini didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, ia kemudiannya disahkan oleh pengurus pasukan, Haji Mohd Zafarollah Nordin.
Tanpa mendedahkan sebab Azzmi direhatkan, beliau hanya menyatakan tiada individu yang lebih besar daripada pasukan. Zafarollah juga berharap pasukan dapat kekal cemerlang untuk baki perlawanan Liga Super sehingga akhir musim.
“Pemain serta jurulatih datang dan pergi, tiada siapa individu lebih tinggi dan hebat dari pasukan PDRM FC itu sendiri.
“Kami tidak mahu isu ini menganggu persiapan pasukan menghadapi pasukan Perak Jumaat ini. Fokus kami sekarang ini mencapai keputusan terbaik dalam semua baki perlawanan Liga Super 2023,” katanya di Facebook.
Susulan itu, Eddy Gapil menggalas peranan sebagai pemangku jurulatih PDRM FC dengan perlawanan pertamanya ialah menentang Perak FC pada 23 Jun ini.
Selain Azzmi, Fadhirul turut mendedahkan seorang pemain berstatus tonggak juga dilaporkan tidak lagi bersama The Cops. Ini membuatkan penyokong tertanya-tanya siapa pemain yang akan dilepaskan pengurusan Sang Saka Biru itu.