Advertisement
Giliran Zul Fadli Rozi & Kedah Berpisah
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Selepas lapan pemain import dan lima pemain tempatan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini mengucapkan selamat tinggal kepada koordinator pasukan, Zul Fadli Rozi atau Joe Rozi.

Pengumuman ini dibuat menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi Kedah hari ini.

Pengurusan Sang Kenari mengucapkan terima kasih kepada Joe Rozi atas segala sumbangan sepanjang semusim bersama pasukan itu.

Ini termasuk membantu merekrut pemain-pemain berkaliber bagi membolehkan Kedah meraih kedudukan keempat dalam liga musim lepas.

“Terima kasih dan Biar Jasa Jadi Kenangan ZuI FadIi Rozi, Koordinator Pasukan Liga Super Kedah musim 2023.

“Di bawah pentadbiran pasukan dalam membina pasukan musim lepas, pengalaman beliau cukup penting dalam meyakinkan beberapa pemain utama untuk mewakili Sang Kenari selain dari pernah mengendalikan ramai pemain import dalam sistem pasukan liga simpanan sebelum ini bersama Terengganu FC.

“Walaupun setahun bersama KDA FC, tanggungjawab dan dedikasi yang dipamerkan cukup penting dalam mengekalkan keharmonian pasukan ketika menongkah pasang surut beberapa isu yang melanda, sehinggakan prestasi pasukan di tahun pertama pembinaan mula menampakkan hasil positif mencapai sasaran sebagai 4 pasukan terbaik Liga Super musim 2023.

“Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan sumbangan keringat sepanjang musim lepas,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Joe Rozi kini sudah memiliki pasukan baru di mana beliau kini kembali ke Terengganu FC dan menggalas peranan sebagai pengarah sukan Peteh.