Penyerang baharu Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dilaporkan berada dalam radar kelab Argentina, Gimnasia La Plata.
Sebelum ini, penyerang berusia 29 tahun itu menafikan sekeras-kerasnya khabar angin bahawa beliau akan meninggalkan kelab Colombia, America de Cali.
“Saya langsung tidak tahu (mengenai spekulasi itu). Saya sentiasa berada di sini bersama pasukan saya,” katanya selepas perlawanan separuh akhir Torneo Apertura menentang Independiente Medellin.
Meskipun begitu, itu tidak menghalang Habla Gimnasia menyiarkan khabar angin yang mengaitkan Holgado dengan perpindahan ke Gimnasia.
Nama beliau dicanang sebagai alternatif kepada pengurusan kelab Argentina itu. Ini selepas usaha mereka mendapatkan Cristian Barrios dari America de Cali dilihat tidak berhasil.
Ini kerana Barrios mengalami kecederaan yang serius dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk pulih. Ini menyebabkan staf kejurulatihan mencadangkan nama Holgado sebagai alternatif.
Bekas penyerang San Lorenzo itu tidak asing dengan Gimnasia kerana pernah beraksi dengan kelab itu dari 2021 hingga 2023.