Jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengakui rindu melihat kelibat Lee Zii Jia kembali beraksi di atas gelanggang.
Selepas berehat akibat kecederaan dalam saingan World Tour Finals (WTF) 2024, Zii Jia membuat kemunculan dalam dua kejohanan iaitu Orleans Masters dan All England Open 2025.
Walau bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mengalami kecederaan buku lali ketika aksi pusingan pertama All England Open.
Kecederaan tersebut bukan saja memaksa beliau melupakan beberapa kejohanan seperti Badminton Asia Championships (BAC) dan Sudirman Cup.
Malah, Zii Jia juga mengambil langkah mendapatkan perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Ketiadaan beliau dalam beberapa kejohanan membuatkan Jin Wei merindui kelibatnya. Ini kerana pada hemat pemain ke-48 dunia itu, kelibat Zii Jia sentiasa menceriakan setiap pertandingan yang disertai mereka.
“(Saya) harap beliau pulih tidak lama lagi supaya kita dapat bertanding sama-sama lagi. Ianya membosankan tanpa (kelibat) beliau!” katanya kepada CGTN Sports.
Pandangan Jin Wei turut dipersetujui seorang lagi jaguh badminton negara, Soh Wooi Yik. “Saya harap beliau cepat pulih tidak lama lagi,” katanya.
Ketiadaan Zii Jia menyaksikan Leong Jun Hao dan Justin Hoh mengetuai cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki Sudirman Cup.