Jaguh beregu lelaki negara, Goh Sze Fei mengakui merasa seperti pulang ke rumah apabila kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Sze Fei dan rakan gandingannya, Nur Izzuddin Rumsani berlatih di ABM sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi cabaran Sudirman Cup 2025.
Selain berlatih di bawah satu bumbung semula, mereka berpeluang berguru dengan jurulatih legenda dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi.
Atas sebab itu, Sze Fei menghargai peluang berlatih bersama pemain-pemain lain untuk kejohanan itu yang akan bermula pada 27 April ini.
“Rasa macam balik rumah. BAM di sini ada kemudahan yang terbaik, jadi saya rasa bersyukur. Dan belajar banyak perkara daripada Coach Herry,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Kontinjen Malaysia bakal diketuai dua kapten iaitu Leong Jun Hao dan Pearly Tan. Selain Sze Fei-Izzuddin, beregu lelaki turut diperkuatkan dengan kehadiran Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Malaysia bakal membuka kempen Sudirman Cup dengan turun menentang Perancis pada 28 April.