Gol Saat Akhir Pacu Brazil Tewaskan Mexico
MakanBola
Mexican National Team

Pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Mexico 3-2 di Kyle Field, Texas hari ini.

Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada dua aksi pemanas badan Brazil untuk Copa America yang berlangsung pada penghujung bulan ini.

View this post on Instagram

A post shared by CBF • Seleção Brasileira de Futebol (@cbf_futebol)

Ad

Pemain sayap Arsenal, Gabriel Martinelli mengetuai cabaran Selecao. Sementara pasukan Mexico pula diketuai peledak berbisa Feyenoord, Santiago Gimenez.

Ad

Sebaik perlawanan bermula, Brazil tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Fulham, Andreas Pereira pada minit kelima.

Tersentak, El Tri yang dibimbing Jaime Lozano berusaha menembusi pertahanan Selecao menerusi gandingan Gimenez, Julian Quinones dan Uriel Antuna.

Ad
Ad

Usaha mereka tidak berhasil disebabkan kecekapan penjaga gol Liverpool, Alisson menyusun barisan pertahanan Brazil.

Ad

Bek kiri Mexico, Gerrardo Arteaga hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-20 tetapi rembatannya diselamatkan penjaga gol berusia 31 tahun itu.

Selecao juga berusaha mendapatkan gol tambahan menerusi Martinelli, Evanilson dan Savio tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Brazil yang dibimbing Dorival Junior terus memberi tekanan kepada barisan pertahanan Mexico.

Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-54 menerusi Martinelli. Pemain sayap berusia 22 tahun itu mudah menyempurnakan hantaran bek kanan Girona, Yan Couto yang menewaskan penjaga gol El Tri, Julio Gonzalez.

Dengan Brazil selesa di hadapan, Dorival memasukkan Pepe, Lucas Paqueta dan Endrick menggantikan Pereira, Martinelli dan Evanilson. Sementara Mexico pula memasukkan Orbelin Pineda dan Alexis Vega untuk cuba merapatkan jurang gol.

Tatkala Selecao menyangka dapat mengekalkan pendahuluan selesa mereka, El Tri merapatkan jurang menerusi Quinones pada minit ke-73.

Ini memaksa Brazil kembali meningkatkan tekanan untuk memburu gol ketiga perlawanan. Dorival turut mengambil langkah memasukkan Bruno Guimaraes, Vinicius Jr. dan Joao Gomes untuk menyuntik tenaga baru ke dalam pasukan.

Tatkala penyokong Brazil menyangka mereka telah meraih kemenangan, Guillermo Martinez muncul wira dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-92.

Keceriaan penyokong Mexico tidak bertahan lama apabila Endrick muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-96. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sofascore memilih Martinez sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini susulan impaknya sebagai pemain gantian. Beliau mendapat markah 7.7, 0.2 mata di hadapan Couto.

Selepas Mexico, Brazil bakal menentang Amerika Syarikat di Orlando pada pagi 13 Jun. Sementara Mexico pula bersedia untuk perlawanan pertama Copa America menentang Jamaica pada pagi 23 Jun.