Gol dramatik Mikel Merino memastikan Sepanyol mengikat Belanda 2-2 dalam aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara UEFA (UNL).
Kedua-dua pasukan memburu kelebihan gol awal di Rotterdam untuk aksi timbal balik di Sepanyol pada 24 Mac.
Justin Kluivert dibawa masuk sebagai pengganti Ryan Gravenberch. Lamine Yamal, Nico Williams dan Alvaro Morata menjadi sandaran gol Sepanyol.
Separuh masa pertama menyaksikan La Roja hampir berada di hadapan menerusi Pedri seawal minit kedua. Percubaan jeneral tengah Barcelona itu dinafikan penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen.
Kesungguhan Sepanyol mendapatkan gol awal berhasil menerusi Williams tujuh minit selepas itu. Meskipun cuba disekat pertahanan Oranje, pemain sayap Athletic Bilbao itu berjaya menewaskan Verbruggen.
Tersentak, Belanda yang dibimbing Ronald Koeman pantas mengasak Sepanyol untuk mendapatkan gol penyamaan.
Hasilnya, penyerang Liverpool, Cody Gakpo menyudahkan hantaran Memphis Depay pada minit ke-28. Ini gol ke-15 beliau di peringkat antarabangsa.
Pengendali La Roja, Luis de la Fuente terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Dean Huijsen pada minit ke-41. Bek tengah Bournemouth itu masuk menggantikan Pau Cubarsi yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Belanda terus meningkatkan tekanan berbekalkan sokongan padu penyokong di Rotterdam.
Pemain tengah A.C Milan, Tijjani Reijnders menceriakan penyokong Oranje dengan meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-46.
Gol tersebut mendorong de la Fuente memasukkan Dani Olmo, Ayoze Perez dan Mikel Oyarzabal pada minit ke-61 untuk memburu gol penyamaan.
Belanda kemudiannya ditimpa malang apabila bek kiri, Jorrel Hato dilayangkan kad merah pada minit ke-81. Ini selepas Hato dikesan mengasari Robin Le Normand.
Kelebihan 11 pemain pantas dimanfaatkan La Roja untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Merino menyumbat gol penyamaan pada minit ke-93.
Kedua-dua pasukan terus mencari gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Belanda dan Sepanyol akan berentap buat kali kedua pada 24 Mac untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Sofascore memilih Williams sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9. Gakpo, Verbruggen dan Merino masing-masing berkongsi 7.5 mata.