Gol Ngeri Wan Kuzain Paksa Lawan Berputih Mata
MakanBola
St. Louis City 2

Gol cantik membuatkan nama pemain tengah Malaysia-Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal kembali menjadi sebutan hari ini.

Ini selepas pemain tengah berusia 25 tahun itu membantu St. Louis City 2 menewaskan Colorado Rapids Bawah 23 Tahun (B-23) 3-2.

Kuzain terus mendapat kepercayaan jurulatih Bobby Murphy apabila diturunkan sebagai jeneral tengah pasukan itu.

Ad

City2 mendahului seawal minit ke-12 menerusi Kuzain. Beliau yang tidak dikawal melakukan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti tepat ke penjuru atas gawang Rapids.

Sepakan lencong yang diambil beliau menyebabkan barisan pertahanan tuan rumah termasuk penjaga gol, Ethan Bandre terpaku.

Ad
Ad

Ini gol ketiga Kuzain bersama City2 musim ini dalam 11 perlawanan MLS Next Pro mengikut data terkini Transfermarkt. Dan beliau semakin menghampiri rekod gol yang diciptanya musim lepas iaitu lima gol.

Ad

Rapids kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Antony Ivan Garcia Rodriguez pada minit ke-28. Tuan rumah mendahului 2-1 sehingga rehat menerusi penalti Facundo Nunez pada minit ke-47.

Separuh masa kedua menyaksikan City2 kembali memperkemaskan rentak. Kem pelawat ceria apabila rembatan John Klein pada minit ke-56 gagal ditepis Bandre dan menerjah jaring tuan rumah.

Murphy kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan Kuzain pada minit ke-72. Percaturan beliau membuahkan hasil apabila Mykhi Joyner menyumbat gol kemenangan menerusi penalti pada minit ke-83.

Keputusan ini menyaksikan City2 kini menduduki tangga kedua MLS NEXT Pro Western Conference dengan 24 mata. Ini juga kemenangan keempat kelab itu di tempat lawan musim ini.

Selepas ini, City2 bakal berdepan Tacoma Defiance dalam aksi terbaru MLS Next Pro di tempat lawan pada 7 Jun ini.