India terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas tewas tipis kepada Qatar semalam. Lebih memilukan, mereka dibolosi melalui jaringan aneh Qatar yang merentap api perjuangan India dalam aksi tersebut.
Jaringan aneh Qatar terhasil pada minit ke-73 melalui penyudah Yousef Aymen yang mana menyaksikan beberapa pemain India meluru kepada penjaga garisan kerana mengesyaki bola sudah keluar daripada permainan terlebih dahulu sebelum jaringan berlaku.
Jaringan Qatar itu akhirnya disahkan pengadil untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1 sebelum Ahmed Al-Rawi menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 untuk memastikan kemenangan kelima buat Qatar dalam kempen kelayakan ini.
Terdahulu, India yang menurunkan skuad terkuat terlebih dahulu di hadapan melalui jaringan Lallianzuala Chhangte pada minit ke-37.
India dilihat lebih mendominasi aksi separuh masa pertama dengan beberapa percubaan merbahaya namun tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.
Dengan kekalahan ini, India terpaksa akur terlepas slot ke pusingan ketiga kelayakan selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan A sekali gus memberi ruang buat Kuwait untuk mengiringi Qatar ke pusingan seterusnya.